GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Akibat menceroboh sebuah bilik hotel pada 4 pagi, seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdillah Helmi Shahimin, 25, selepas dia mengaku bersalah menceroboh sebuah bilik di Vortex KLCC milik Victoria Home Sdn Bhd dengan niat untuk melakukan kesalahan dan menakutkan pemilik hartanah itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Aina Azahra bertanya kepada tertuduh sama ada rakannya hadir ke mahkamah untuk membayar denda, lelaki itu berkata: "Kawan tak ada, wang pun tak ada".

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Vortex KLCC, Jalan Ampang, di sini, antara 4 pagi hingga 10 pagi mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda yang boleh sampai RM3,000 atau kedua-duanya.

Lelaki itu turut didenda RM1,000 atau penjara tujuh hari atas pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri ketika diminta pihak polis di tempat dan masa sama, mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zuraidi Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana tidak mampu.

Difahamkan, tertuduh yang merupakan gelandangan menceroboh masuk ke bilik hotel itu untuk tidur dan dia berada di bilik itu dari pukul 4 pagi hingga 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 4:09 PM