Sudirman Mohd Tahir

Bangi: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu memberi lebih keutamaan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara bermula awal tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penekanan harus diberikan dalam soal pendidikan bagi meningkatkan kualiti pelajar seterusnya dapat bersaing dengan negara lain di peringkat global.

"Soal pendidikan, untuk guru besar, pengetua dan guru-guru, saya nak tekankan yang mana bermula Januari 2024, selain menyelesaikan hal asas berkaitan prasarana sekolah, tumpuan kita nak tingkat dan angkat mutu pendidikan.

"Perkara ini, saya dah bercakap kepada Menteri KPM dan KPT. Minta bantuan, kita bantu. Tahun ini lebih baik, tapi prestasi murid-murid tak berubah, kita tak boleh terima. Jadi, ini yang saya mahu tekankan mengenai mutu pendidikan.

"Tumpu sepenuhnya macam mana nak kuasai bahasa, matematik, sains, komputer, pendidikan agama dan semua mata pelajaran perlu berikan tumpuan. Dalam mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat ini, saya nak tumpukan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

ANWAR menandatangani plak perasmian pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANWAR menandatangani plak perasmian pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi. FOTO Hairul Anuar Rahim

Beliau turut menyarankan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berbincang bagaimana kaedah untuk menggalakkan ibu bapa memberikan tumpuan ke atas pendidikan anak-anak.

"PIBG perlu bincang macam mana nak galakkan pada ibu bapa agar memberi perhatian lebih supaya anak-anak tumpu ulang kaji selama 30 minit hingga sejam. Macam mana negara kita nak diangkat, kalau mutu pendidikan tak maju.

"Harapnya dengan politik negara yang sudah stabil, kerajaan perpaduan sudah kuat, kita mahu tumpukan pada pendidikan di sekolah selain ekonomi," katanya.

Untuk rekod, Projek Rintis Bangunan Daif adalah salah satu inisiatif bitara Madani yang diterajui oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR).

Selain SK Bandar Baru Bangi, dua sekolah lain terbabit dalam projek ini adalah SK Tan Sri Ghazali Jawi, Hulu Perak, Perak dan SK Seri Adika Raja, Hulu Perak, Perak.

Sebagai komitmen berterusan, sebanyak 73 projek baharu pembinaan semula bangunan daif di sekolah seluruh negara berjumlah RM 1.797 bilion sudah diluluskan untuk tahun depan.

Pelaksanaan projek ini adalah 'touch point' kepada rakyat dia ia membabitkan penggantian bangunan lama yang uzur dan tidak selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 2:21 PM