Ekhwan Haque Fazlul Haque

Bangi: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti punca yang menyebabkan guru bersara lebih awal dan mencari pendekatan sesuai untuk menanganinya.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, data kementerian menunjukkan pola persaraan awal itu adalah sama antara 2017 hingga kini.

Susulan itu, katanya dakwaan yang mengatakan bebanan tugas ketika Covid-19 sebagai antara punca utama guru bersara perlu diteliti.

"Kementerian melihat trend guru bersara awal sama sejak 2017 dan bukan naik mendadak kebelakangan ini.

"Namun kita akan meneliti pendekatan yang lebih sesuai untuk memastikan isu guru bersara awal dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Generasi Penamat Anti Rokok 18 (Gegar-18) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum ini menganggarkan lebih 10,000 guru memilih untuk bersara awal setiap tahun sejak kebelakangan ini.

Keadaan ini membimbangkan dan banyak pihak mendesak KPM untuk melakukan tindakan holistik bagi mengatasi perkara berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Radzi berkata, KPM akan meneliti tindakan bakal dikenakan kepada guru yang membuat siaran langsung di laman sosial ketika mengajar di sekolah.

"KPM sedang memperincikan pendekatan yang sesuai untuk memastikan tindakan ini tidak memberi impak negatif kepada pelajar.

"Ada yang rakam 'live' ketika mengajar dan pelajar mungkin akan berasa malu jika mereka tidak dapat menjawab soalan ketika di dalam kelas.

"Pelbagai perkara akan diteliti sebelum pemakluman akan dibuat kepada guru dalam masa terdekat," katanya.

Radzi menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran GEGAR-18 (Generation End Game Anti Rokok-18) di SMK Bandar Seri Putra, Bangi. FOTO Aizuddin Saad
Radzi menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran GEGAR-18 (Generation End Game Anti Rokok-18) di SMK Bandar Seri Putra, Bangi. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 1:48 PM