Nur Elysa Amirah Suhaimi

Petaling Jaya: Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Jabatan Perdana Menteri mahu menjalin kolaborasi bersama Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan sektor kerajaan kepada rakyat.

Ketua Pengarahnya Datuk Rodzi Md Saad berkata, pihaknya sedia bekerjasama bersama Media Prima dengan mengadakan perbincangan lanjut mengenai usaha transformasi pendigitalan.

Menurutnya, ini berikutan pihaknya dalam usaha meningkatkan inovasi melalui pendigitalan seiring dengan peredaran masa termasuk bekerjasama dengan Media Prima.

"Kita melihat ada ruang di Media Prima terutama TV3 yang boleh berkolaborasi bersama sektor awam menerusi Mampu dalam meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan sektor kerajaan kepada rakyat.

"Bagaimana usaha ini boleh kita rapatkan supaya sama-sama mendapat faedah dan kebaikan untuk negara kita.

"Mampu sedang menggalakkan inovasi dan penciptaan idea baru dalam sektor awam bagi meningkatkan bakat dan daya cipta mereka, sekali gus boleh memperbaiki penyampaian perkhidmataan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan rasmi di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, hari ini.

RODZI (kiri) bersama Syed Hussian Aljunid ketika lawatan Sri Pentas. FOTO Eizairi Shamsudin
RODZI (kiri) bersama Syed Hussian Aljunid ketika lawatan Sri Pentas. FOTO Eizairi Shamsudin

Terdahulu, Rodzi diiringi oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran serta Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.

Menurutnya, Mampu sedang memperkasa agenda transformasi pendigitalan perkhidmatan awam secara 'end to end' bagi memudahkan rakyat berurusan, sekali gus mengelak pelbagai isu antaranya ketirisan dan integriti.

"Kita ada struktur penyelarasan melalui mekanisme jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali di sektor awam.

"Keseluruhan proses ini berjalan baik antara semua agensi dan kementerian, selain sebarang usaha akan dibentang untuk mendapatkan persetujuan bersama yang diputuskan jawatankuasa dipengerusikan Mohd Zuki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 5:25 PM