Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) menerima anugerah perak bagi sektor Syarikat Telekomunikasi dan Media, dalam kategori ekuiti, di The Edge ESG Awards 2022.

The Edge ESG Awards 2022, yang dianjurkan oleh The Edge dengan Kerjasama Bursa Malaysia dan FTSE Russel, bertujuan mengiktiraf syarikat senarai awam dan firma pengurusan aset yang menerajui piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di Malaysia.

Sebanyak 65 anugerah telah diberikan kepada 44 syarikat pada majlis makan malam gala anugerah ESG yang julung kali diadakan di Sunway Resort Hotel.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, pihaknya berbesar hati untuk menerima pengiktirafan sebagai antara pengamal ESG yang cemerlang oleh rakan industri.

"Sebagai kumpulan media bersepadu terbesar Malaysia, ia menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan bahawa kami adalah warga korporat yang bertanggungjawab dalam mengekalkan standard terbaik untuk memastikan nilai jangka masa panjang kepada pihak berkepentingan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Rafiq Razali berkata, Media Prima memainkan peranan penting

dalam soal fabrik sosial negara dan akan sentiasa memastikan operasi perniagaan Kumpulan mengamalkan standard ESG yang tinggi.

"Penghargaan diberikan kepada semua warga Media Prima. Kesungguhan dan ketangkasan mereka dalam persekitaran yang berubah pantas ini adalah teras untuk kejayaan kumpulan di masa hadapan," katanya.

Pengiktirafan daripada The Edge ESG Awards adalah anugerah kedua Media Prima untuk amalan ESG yang cemerlang.

Kumpulan juga baru sahaja dianugerahkan 'Anugerah Kecemerlangan Industri untuk Pendedahan Tadbir Urus Korporat (CG)' di Anugerah Tadbir Urus Korporat MSWG-ASEAN 2021, anjuran Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad (MSWG).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 3:56 PM