Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Nasib keluarga Penolong Pengarang Berita Harian Metro Allahyarham Mohd Firdaus Ibrahim yang meninggal dunia minggu lalu akan terus dibela melalui pelbagai bantuan dan sokongan Kumpulan Media Prima.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit berkata, pihaknya kehilangan seorang wartawan berbakat besar selain mempunyai dedikasi yang sangat tinggi dalam melaksanakan setiap tugasan.

Kata beliau, bagi memastikan keluarga Mohd Firdaus terus terbela, pihaknya akan berusaha membantu keluarga arwah dari segi kewangan, mencari pekerjaan bersesuaian untuk isteri dan memastikan anak arwah mendapat pendidikan sempurna.

"Allahyarham Mohd Firdaus adalah keluarga kita dan atas semangat kekeluargaan, syarikat akan terus membantu keluarganya dan juga keluarga mana-mana kakitangan yang menerima nasib sama.

"Kita akan cuba bantu mencari peluang pekerjaan buat isterinya selain memastikan anaknya terus dapat bersekolah.

Selain itu, kita akan lihat bantuan lain yang sesuai mengikut keperluan mereka dari semasa ke semasa," katanya katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Allahyarham Mohd Firdaus Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
Allahyarham Mohd Firdaus Ibrahim. FOTO Arkib NSTP

Terdahulu Husain mengiringi Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Firdaus di Kampung Bagan, Mukim Jeram di sini.

Hadir sama Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Nor Arzlin Redzwan, dan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad.

Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (dua kiri) bersama Husain Jahit (kiri) dan Nor Arzlin Redzwan (kanan) ketika menziarah isteri dan keluarga Mohd Firdaus Ibrahim.  FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (dua kiri) bersama Husain Jahit (kiri) dan Nor Arzlin Redzwan (kanan) ketika menziarah isteri dan keluarga Mohd Firdaus Ibrahim. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Sementara itu, isteri Allahyarham, Noor Aida Noh, 37, ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu demi memastikan kehidupannya dan empat anak berusia antara 10 bulan hingga sembilan tahun terjamin.

"Ketika ini, perancangan saya adalah untuk menguruskan empat anak kami yang masih kecil dengan hanya dua sahaja baharu bersekolah di Tahun Satu dan Tiga.

"Selepas ini, saya akan balik sementara ke rumah kami di Kuala Lumpur bagi meneruskan persekolahan anak sehingga hujung tahun, sebelum berpindah balik ke sini dan mencari pekerjaan tetap," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Allahyarham Mohd Firdaus, 37, meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur pada 3 Ogos lalu, akibat jangkitan malaria dan kegagalan fungsi organ.

Sepanjang 14 tahun berkhidmat, beliau banyak membantu menaikkan nama Harian Metro termasuk memenangi pelbagai anugerah peringkat tempatan dan antarabangsa.

DATUK Seri Dr Syed Hussian Aljunid (dua kanan) bersama Husain Jahit (kiri) dan Nor Arzlin Redzwan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Noor Aida Noh, 37, sambil disaksikan bapa Allahyarham, Ibrahim Ishak (tiga kiri) di Kampung Bagan, Jitra. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
DATUK Seri Dr Syed Hussian Aljunid (dua kanan) bersama Husain Jahit (kiri) dan Nor Arzlin Redzwan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Noor Aida Noh, 37, sambil disaksikan bapa Allahyarham, Ibrahim Ishak (tiga kiri) di Kampung Bagan, Jitra. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 8:34 PM