SUSPEK direman sehari bagi membantu siasatan kes pergaduhan hingga menyebabkan kematian seorang lelaki. FOTO Mary Victoria Dass
SUSPEK direman sehari bagi membantu siasatan kes pergaduhan hingga menyebabkan kematian seorang lelaki. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Dua lelaki warga Singapura ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata tajam hingga menyebabkan kematian seorang lelaki di hadapan sebuah premis di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki itu masing-masing berusia 26 dan 29 tahun.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Johor Bahru, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Bagaimanapun Nurkhalida Farhana menolak permohonan reman seorang wanita warga tempatan berusia 33 tahun yang turut ditahan semalam.

Ketika dibawa keluar dari bilik reman, salah seorang daripada suspek turut bertanya kepada kumpulan jurugambar sama ada mereka merakam gambar dan video berkaitan kes bunuh sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 33 tahun ditahan kurang dua jam selepas kejadian.

Beliau berkata, polis mengesan sebuah kereta jenis Audi yang dinaiki semua suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanjung Puteri, Johor Bahru.

"Semasa polis cuba membuat pemeriksaan pemandu kereta terbabit terus memecut laju sehingga ke Jalan Tun Dr Ismail di hadapan Istana Besar sebelum terbabas akibat hilang kawalan dan merempuh pagar istana," katanya.

Menurutnya, semua suspek berjaya ditahan dan polis merampas hulu pisau berwarna kuning dan mata pisau, sehelai baju hijau, dua helai seluar hitam, tiga telefon bimbit dan sehelai baju berwarna hijau putih.

Katanya, hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

"Polis turut menyiasat kes di bawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pemandu kereta turut disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 1:51 PM