KERETA Honda City yang dinaiki lelaki ketika melarikan diri selepas disyaki terbabit dengan insiden kecurian dalam sebuah pasar raya di Tebrau, Rabu lalu, ditemui di Larkin. FOTO Ihsan PDRM
KERETA Honda City yang dinaiki lelaki ketika melarikan diri selepas disyaki terbabit dengan insiden kecurian dalam sebuah pasar raya di Tebrau, Rabu lalu, ditemui di Larkin. FOTO Ihsan PDRM
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Polis menemukan kereta yang dinaiki lelaki ketika melarikan diri selepas disyaki terbabit dalam insiden kecurian dalam sebuah pasar raya di Tebrau, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kereta Honda City berwarna merah itu ditemui di kawasan perumahan di Larkin pada 12.33 tengah malam semalam.

"Kita baharu menjumpai kereta dinaiki suspek yang ditinggalkan di Larkin, semalam. Bagaimanapun, suspek masih belum ditemui.

"Polis percaya suspek lelaki itu masih lagi berada di dalam negeri ini dan usaha menjejakinya sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis memburu suspek bernama Muhammad Firdaus Shamsudin, 33, yang melarikan diri sejurus dikesan pengurusan pasar raya kerana disyaki mencuri dalam premis itu.

Malah, suspek yang beralamat di Gemas, Negeri Sembilan itu turut dilaporkan memandu Honda City secara merbahaya sehingga merosakkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di parkir pasar raya terbabit ketika cuba melarikan diri.

Semakan polis mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah membabitkan kes curi dalam bangunan, selain dua rekod jenayah lain, satu rekod kes dadah dan dua rekod dikehendaki polis juga dalam kes dadah.

Dalam kejadian itu, seorang wanita tempatan berusia 31 tahun yang bersama-sama dengan suspek lelaki itu berjaya ditahan pengurusan pasar raya.

Barangan yang disyaki dicuri mereka adalah pelbagai jenis coklat, ubat gastrik, 'seat hook' dan pemegang telefon bimbit dengan nilai keseluruhan RM952.19..

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nuraziera Miersha Jamaludin di talian 017-3498690 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian di 07-2182323.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 3:55 PM