GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru : Anggota polis berpangkat konstabel, parah ditikam seorang individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas Semalaysia di sekitar bandaraya ini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku di tempat letak kereta berbayar, di Jalan Ungku Puan di sini, kira-kira 2.30 pagi.

Katanya, mangsa berusia 22 tahun mengalami luka dalaman akibat ditikam menggunakan sebilah pisau di bahagian rusuk belakang sebelah kiri.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dan rakan setugas lain sedang memeriksa tiga individu termasuk suspek kerana disyaki terbabit kegiatan penyalahgunaan dadah.

"Secara tiba-tiba suspek dipercayai warga tempatan cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam oleh suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, seorang anggota datang membantu mangsa tetapi suspek berjaya melarikan diri.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan dan doktor memaklumkan keadaan mangsa stabil.

Raub berkata, pihak polis sedang giat mengesan suspek.

Katanya suspek berpakaian baju lengan panjang berwarna hitam, seluar jeans panjang juga warna hitam, berselipar, memakai snowcap dan berpelitup muka berwarna hitam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh terus menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid 017-2765250.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 kanun keseksaan dan Seksyen 186 kanun keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 6:54 PM