TIGA lelaki yang ditahan kerana melanggar kereta petugas kempen sebuah parti di Taman Mount Austin. FOTO Ihsan Polis
TIGA lelaki yang ditahan kerana melanggar kereta petugas kempen sebuah parti di Taman Mount Austin. FOTO Ihsan Polis
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis menahan tiga lelaki di Larkin, dekat sini, awal pagi tadi, selepas disyaki melanggar kereta petugas yang menjalankan kerja membaiki bahan kempen sebuah parti di Taman Mount Austin, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek berusia antara 34 dan 35 tahun itu ditahan kira-kira 1.30 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

"Kita membuat tangkapan tiga lelaki warga tempatan bersabit kejadian yang berlaku 4.30 pagi semalam apabila kereta suspek melanggar kereta mangsa selepas mangsa menjalankan kerja membaiki 'billboard' (papan iklan) sebuah parti di kawasan Taman Mount Austin," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara suspek dan mangsa yang berusia 30 tahun itu.

"Semua suspek menganggap kereta dinaiki mangsa adalah kereta yang dinaiki oleh tiga warga asing yang berselisih faham dengan mereka di sebuah restoran sebelum itu," jelasnya.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama dua hari sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Kamarul Zaman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Asri Jamalin di talian 014-6270324 atau hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 6:05 PM