GUAN Eng (kiri) dan Najib. FOTO arkib NSTP
GUAN Eng (kiri) dan Najib. FOTO arkib NSTP
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dia memberikan RM2 juta, masing-masing untuk diserahkan kepada Lim Guan Eng dan Datuk Seri Najib Razak.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, ahli perniagaan berusia 64 tahun itu, mendakwa wang untuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan bekas Perdana Menteri diberikan menerusi orang tengah yang juga ahli perniagaan, G Gnanaraja.

Saksi pendakwaan ke-23 itu memaklumkan cek RM2 juta untuk Guan Eng berkait projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang dan mendakwa amaun sama untuk Najib bagi menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap CZCSB.

Gobind: Cek RM2 juta untuk Lim Guan Eng, wang tunai RM2 juta untuk Najib?
Zarul Ahmad: Ya.
Gobind: Kamu hanya pergi sekali ke Hotel Eastin (di Petaling Jaya), pada Ogos 2017?
Zarul Ahmad: Saya bawa RM4 juta pada tarikh itu.
Gobind: Itu satu penipuan.
Zarul Ahmad: Saya tidak setuju.
Gobind: Dalam kenyataan kamu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), RM2 juta yang dibayar daripada wang yang dikeluarkan daripada cek?
Zarul Ahmad: Itu kes lain, itu untuk ahli perniagaan, G Gnanaraja (yang berdepan kes tipu di Mahkamah Shah Alam sebelum ini).
Gobind: Dalam kenyataan kamu kepada SPRM untuk kes Shah Alam, kamu kata RM2 juta daripada cek?
Zarul Ahmad: Saya memperbetulkan perkara itu.

Guan Eng, 63, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Tingkat 28, Komtar, Georgetown, antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Pengerusi DAP itu didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek terbabit.

Guan Eng dituduh melakukan kesalahan berkenaan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut terbabit.

Sementara itu, Zarul Ahmad memaklumkan, dia tidak ingat ketika ditanya oleh Gobind, sama ada RM2 juta daripada cek menjadi punca SPRM mengambil kenyataan daripada bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZCSB, Azli Adam.

Kenyataan turut diambil SPRM daripada seorang lagi bekas pengarah syarikat sama, Ibrahim Sahari, selain kedua-dua mereka dipanggil sebagai saksi untuk kes di Shah Alam.

Gobind: Setakat yang kamu tahu, kamu memperbetulkannya?
Zarul Ahmad: Ya, ketika perbicaraan membabitkan Gnanaraja. Saya tidak ingat tarikhnya.
Gobind: Selepas semua ini, kamu mengambil keputusan untuk mengubah cerita dan meletakkan salah pada Guan Eng.
Zarul Ahmad: Saya tidak setuju.

Gobind kemudian membuat permohonan untuk mendapatkan salinan kenyataan diberikan Zarul Ahmad kepada SPRM.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, bertanya sama ada salinan kenyataan itu untuk kes di Shah Alam atau Kuala Lumpur, sebelum peguam terbabit mengesahkan permohonan itu untuk kedua-duanya.

Hakim Azura Alwi menetapkan esok untuk mendengar permohonan itu, selain perbicaraan bersambung 1 hingga 3 November, manakala tahun depan pada 16 dan 17 Januari; 26 dan 27 Februari; 4, 6 dan 15 Mac, 1 hingga 4 April serta 2 dan 3 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 4:52 PM