Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Peguam bela Gobind Singh Deo mendakwa wang RM2 juta dengan kod nama 'coklat' sebenarnya untuk 'big boss' (bos besar) merujuk kepada Perdana Menteri (PM) ketika itu dengan menggunakan orang tengah pada 2017, tidak bermaksud untuk diberikan kepada anak guamnya, Lim Guan Eng.

Gobind berkata, ia berdasarkan perbualan melalui aplikasi Whatsapp pada 17 Ogos 2017 antara Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan ahli perniagaan G Gnanaraja yang dikatakan sebagai orang tengah membuat pembayaran berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menyoal balas Pegawai Penyiasat Jabatan Forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Mohd Firdaus Wan Yusof dengan merujuk kepada perbualan Whatsapp terkandung dalam laporan forensik pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Guan Eng.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berdepan empat pertuduhan rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Wan Mohd Firdaus bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa dalam perbualan itu ada dinyatakan bahawa 'coklat' adalah untuk 'big boss' bagaimanapun apabila dicadangkan sama ada boleh menyatakan yang ia merujuk kepada Perdana Menteri ketika itu, saksi terbabit menjawab, "tidak."

Gobind seterusnya merujuk saksi dengan perbualan Whatsapp pada 23 Julai 2017 yang berkisar mengenai sambutan hari jadi seseorang dikenali sebagai big boss dan berkaitan sebuah kediaman di Taman Duta di sini, dan saksi bersetuju perkara itu terdapat dalam perbualan berkenaan.

Gobind seterusnya menyatakan bahawa ia adalah jelas 'big boss' tidak merujuk kepada anak guamnya kerana Guan Eng tidak tinggal di Taman Duta dan tidak dilahirkan pada 23 Julai 2017.

Bagaimanapun ketika diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Wan Mohd Firdaus berkata, dalam kandungan perbualan Whatsapp itu tidak pernah menyatakan bahawa wang tidak dibayar kepada Guan Eng.

Ditanya sama ada laporan forensik mengandungi perbualan Whatsapp itu menyatakan bahawa wang dibayar kepada orang lain selain Guan Eng, saksi itu menjawab, "tidak."

Wan Shaharuddin: Adakah dalam laporan perbualan itu langsung tidak menyebut perkataan CM (Ketua Menteri) Lim Guan Eng?

Wan Mohd Firdaus: Perbualan oleh Gnanaraja bertarikh 17 Ogos 2017 pada 6.14 petang menyatakan Penang CM, manakala daripada Datuk Zarul 5.15 petang menyatakan 'stay in Penang Sir, CM postpone my meeting with him, 7 petang'. (Teruskan berada di Pulau Pinang tuan, CM tangguhkan mesyuarat dengannya, 7 petang)

Wan Shaharuddin: Ada atau tidak laporan menyatakan bahawa ia dibayar kepada orang lain?

Gobind: Ini tidak betul, ada disebut di situ big boss. Big boss adalah PM.

Hakim Azura Alwi: Itu adalah pembelaan kamu

Wan Shaharuddin: Ada atau tidak wang RM2 juta tidak dibayar kepada Guan Eng?

Wan Ahmad Firdaus: Tidak

Sementara itu, dalam hujahan bagi permohonan penzahiran dokumen laporan forensik itu, Gobind berkata, bukti yang diterima pembelaan ialah Gnanaraja menerima wang RM2 juta daripada Zarul dan pendakwaan bergantung kepada perbualan Whatsapp berkenaan.

"Mengapa dokumen ini tidak diberikan kepada kami, siapa big boss?", katanya.

Azura kemudian mengarahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan bagi dibekalkan dokumen laporan forensik itu yang ditetapkan bagi pendengaran pada 15 Februari ini.

Guan Eng, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 3:17 PM
Peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah pembinaan projek terowong dasar laut dan dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah pembinaan projek terowong dasar laut dan dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM