Skim Micro Kasih Nita menjadi antara yang mendapat sambutan daripada PMKS. FOTO - Harian Metro
Skim Micro Kasih Nita menjadi antara yang mendapat sambutan daripada PMKS. FOTO - Harian Metro
Muhammad Najmir Razaman

BANK Simpanan Nasional (BSN) terus membuktikan sokongan padu mereka kepada usahawan mikro termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui skim BSN Micro Kasih.

Sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2007, skim kewangan yang ditawarkan institusi kewangan itu berjaya membantu lebih 130 ribu usahawan mikro dengan jumlah pembiayaan berjumlah RM3.8 bilion.

Menurut Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, terdapat tujuh skim Micro Kasih BSN membabitkan Micro Kasih Belia; Micro Kasih Nita; Micro Kasih Bumiputera; Micro Kasih Bumiputera Sabah dan Sarawak; Micro Kasih Veteran; Micro Kasih Taska; dan Micro Kasih Umum.

Katanya, kerajaan juga turut memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi disalurkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui belanjawan 2023.

"Sehingga Ogos lalu, hampir RM300 juta berjaya dimanfaatkan oleh 75,000 PMKS dan baki RM700 juta lagi masih dibuka dan boleh dimohon oleh PMKS yang berminat untuk memajukan perniagaan mereka."

Menurutnya lagi, antara skim yang menerima permintaan paling tinggi adalah Micro Kasih Nita yang dibangunkan khusus buat usahawan wanita dengan permohonan keseluruhan diluluskan berjumlah RM48 juta membabitkan jumlah 1,792 penerima.

Selain itu, skim Micro Kasih Bumiputera juga menjadi antara yang menerima permintaan tinggi dengan permohonan keseluruhan diluluskan berjumlah RM40 juta  dan dimanfaatkan oleh 1,288 usahawan.

"Permohonan masih dibuka kepada usahawan mikro di seluruh Malaysia dan ia boleh dilakukan sama ada secara dalam talian atau secara terus di 39 Pusat Pembiayaan Mikro BSN di seluruh Malaysia," katanya.

Menyedari cabaran yang dihadapi PMKS tempatan seperti kos pendigitalan perniagaan yang agak tinggi, BSN membantu membiayai kos pendigitalan melalui geran padanan yang mana 50 peratus daripada jumlah invois (atau maksimum RM5,000) dibiayai oleh Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) menerusi pelan Ekonomi MADANI.

Tidak terhenti disitu, BSN turut berkolaborasi bersama beberapa penyedia teknologi dan syarikat telekomunikasi seperti Maxis Bhd dan Unifi dalam menyediakan latihan dan sokongan teknikal kepada PMKS yang berminat mendigitalkan perniagaan mereka.

Melalui usaha ini, PMKS akan lebih cenderung untuk berubah ke arah pendigitalan sekali gus meningkatkan kemampuan bersaing dalam landskap pasaran yang lebih luas dan semakin mencabar.

Jay Khairil berkata, di bawah geran digital PMKS ini, BSN menyalurkan sebanyak RM349 juta kepada lebih 142,000 PMKS.

"Dalam masa yang sama, kami juga menjalinkan kerjasama dengan Dropee bagi menyediakan platform digital buat pelanggan sedia ada dan baharu bagi tujuan padanan perniagaan dan akses kepada pembiayaan."

"Ia juga bagi menggalakkan golongan asnaf dan B40 menceburi bidang keusahawanan di bawah program BSN MulaNiaga jalinan bersama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS)," katanya.

Kunjungi laman sesawang BSN untuk maklumat lanjut mengenai skim BSN Micro Kasih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 3:44 PM