Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Lebih 200 jemaah yang turut membawa bendera Malaysia dan Palestin menghadiri Himpunan Solidariti yang berlangsung secara aman di pekarangan Masjid Negeri Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Himpunan berkenaan diadakan selepas solat Jumaat yang turut mengadakan solat sunat hajat bagi memohon kesejahteraan umat Islam di Palestin.

Imam Besar masjid negeri, Datuk Mohd Nordin Samah turut dilihat sebak ketika membacakan doa bagi memohon keselamatan dan keamanan buat rakyat negara itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, himpunan terbabit adalah tanda sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi membebaskan negara mereka.

"Kami membantah sekeras-kerasnya serangan (tentera Israel) yang tidak berperikemanusiaan, kekejaman dan kezaliman berterusan yang tidak bertanggungjawab.

"Ia menyebabkan kemusnahan harta benda serta kehilangan banyak nyawa. "Sesungguhnya doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam bagi keamanan Palestin," katanya ketika berucap.

Terdahulu, Mohamad meminta semua masjid dan surau di Pulau Pinang supaya mengadakan solat sunat hajat selepas solat Jumaat.

Hadir sama, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Jemaah Masjid Negeri Pulau Pinang mengadakan Himpunan Solidariti Untuk Palestin selepas selesai solat Jumaat dan solat sunat hajat, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Jemaah Masjid Negeri Pulau Pinang mengadakan Himpunan Solidariti Untuk Palestin selepas selesai solat Jumaat dan solat sunat hajat, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 4:08 PM