Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang selaku Yang Dipertua  Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (dua, kanan) menyerahkan sumbangan bantuan kemanusiaan Palestin kepada Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Badereddin Seyam (dua, kiri) di pejabat MAINPP hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (dua, kanan) menyerahkan sumbangan bantuan kemanusiaan Palestin kepada Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Badereddin Seyam (dua, kiri) di pejabat MAINPP hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Georgetown: Pulau Pinang hari ini menyerahkan RM1.22 juta hasil kutipan tabung bantuan kemanusiaan bagi membantu warga Palestin terutama di Gaza yang dizalimi rejim Zionis Israel.

Penyampaian itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid kepada Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) yang diwakili Pengerusinya Badereddin Seyam.

Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata atas dasar keprihatinan terhadap rakyat Palestin, kerajaan negeri telah melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin pada 13 Oktober lepas dan sumbangan boleh disalurkan ke akaun khas menerusi MAINPP untuk menyumbang kepada mangsa kekejaman rejim Israel itu.

"Kerajaan negeri telah menyalurkan sumbangan dana sebanyak RM50,000 manakala selebihnya hasil sumbangan Zakat Pulau Pinang, ahli-ahli korporat, kutipan selepas solat Jumaat pada 13 dan 20 Oktober lepas serta orang ramai yang prihatin terhadap nasib saudara kita di Palestin.

Sepanjang kutipan dana itu dijalankan, beberapa aktiviti seperti Himpunan Aman Solidariti Rakyat Palestin, pameran khas sempena memperingati Gaza dan himpunan kasih telah dibuat bagi menunjukkan solidariti kita kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan itu, di sini hari ini.

Mohamad berkata sumbangan yang diserahkan itu hasil kutipan hingga semalam namun pihaknya masih meneruskan tabung berkenaan sehingga ke satu tarikh yang belum ditentukan pada masa hadapan.

Beliau berkata semua masjid dan surau di seluruh negeri juga turut diminta terus melaksanakan bacaan Qunut Nazilah dalam solat Jumaat dan diikuti solat sunat hajat selepas solat Jumaat secara serentak sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

"Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian, saya mewakili kerajaan negeri mengecam segala bentuk tindakan yang tidak berperikemanusiaan dalam melakukan jenayah perang terhadap masyarakat awam sebagaimana dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin," katanya.

Sementara itu, Badereddin berkata pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia khususnya di Pulau Pinang yang membantu menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin dan dalam masa sama menyeru seluruh umat Islam di dunia menyokong rakyat Palestin mendapatkan hak mereka.

Beliau yang masih sedih kerana baru mengetahui kematian kakaknya selepas rumah mereka di Gaza di bom semalam, berkata pihaknya bersyukur kerana rakyat di sini sentiasa prihatin dan tidak pernah melupakan mereka yang berada di Palestin.

"Walaupun saya masih bersedih kerana baru sahaja tahu kakak dan suaminya meninggal...tetapi saya tetap kuat untuk datang hari ini kerana saya tahu seluruh rakyat Malaysia juga kuat menyokong Palestin dan dengan semangat itu kami akan terus pertahankan tanah air kami," katanya yang berada di Malaysia sejak 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 5:08 PM