Bendera Palestin berukuran 15 meter panjang berkibar megah di Flat Projek Perumahan  Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini, yang dipasang sebagai tanda sokongan perjuangan dan doa kepada umat Islam di negara berkenaan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Bendera Palestin berukuran 15 meter panjang berkibar megah di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini, yang dipasang sebagai tanda sokongan perjuangan dan doa kepada umat Islam di negara berkenaan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: 'Ini tanda sokongan kami'. Itu kata penduduk Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini yang mengibarkan bendera berukuran 15 meter panjang sebagai tanda sokongan perjuangan dan doa kepada umat Islam di Palestin.

Bendera yang dipasang merentangi dua blok di flat berkenaan adalah hasil gotong royong kira-kira 200 penduduk serta badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Anak Muda Pulau Pinang.

Wakil penduduk yang juga pengerusi pertubuhan, Muhamad Nayim Othuman Mydin berkata, inisiatif itu mendapat persetujuan bersama penduduk sebelum mereka membuat kutipan bagi menempah bendera Palestin.

Katanya, dalam masa beberapa hari, mereka berjaya mengumpul sejumlah wang bagi membayar kos tempahan bendera yang berharga RM290.

"Kita tidak mampu ke sana untuk sama-sama berjuang, jadi ini adalah solidariti dan tanda sokongan perjuangan umat Islam di sini terhadap penduduk Palestin.

"Sokongan kita terhadap perjuangan mereka umpama doa yang menjadi senjata bagi menguatkan benteng kubu melawan Zionis," katanya ketika ditemui.

Muhamad Nayim berkata, bukan saja memasang bendera, tetapi jemaah surau di flat berkenaan turut mengadakan solat sunat hajat dan bacaan qunut nazilah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Palestin.

"Ia dilakukan setiap hari ketika solat Subuh dan Isyak berjemaah selain turut serta bersolidariti di masjid selepas solat Jumaat," katanya.

Terdahulu, inisiatif penduduk berkenaan turut tular di media sosial dan mendapat sokongan daripada orang ramai.

Muhamad Nayim berkata, selepas ia tular, dia menerima panggilan telefon daripada beberapa badan pengurusan perumahan yang mahu melakukan inisiatif serupa.

"Kita turut bantu mereka dengan memberi pendapat terutama daripada segi pemasangan supaya ia selamat serta tidak mengganggu kejiranan.

"Kami juga dihubungi beberapa pihak yang mahu menaja bendera namun ia masih dalam pertimbangan penduduk selain bercadang mahu memasang bendera Palestin bersaiz kecil sekitar tingkat satu hingga lima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 3:36 PM