SOLAT Hajat selepas solat Jumaat di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam, hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO Bernama.
SOLAT Hajat selepas solat Jumaat di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam, hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO Bernama.
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Masjid di seluruh negara hari ini melaksanakan solat Hajat serta bacaan Qunut Nazilah selepas solat Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin.

Ia susulan tragedi serangan dan kekasaran tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang berada di Masjid Al-Aqsa ketika Ramadan.

Doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk keamanan rakyat Palestin.

Sebelum ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan masjid, surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengadakan bacaan Qunut Nazilah dan solat Hajat selepas solat Jumaat.

Seluruh masjid dan surau di Selangor juga turut diminta mengadakan ibadah sama.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan itu, selain menegaskan kerajaan negeri dan rakyat Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel.

Tentera Israel dilapor menyerbu Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur kelmarin, serbuan pada malam kedua berturut-turut dalam tempoh kurang 24 jam.

Berpuluh-puluh anggota pasukan keselamatan Israel yang lengkap bersenjata bertindak menyerbu pekarangan masjid itu ketika hampir 20,000 jemaah Palestin sedang mengerjakan solat Tarawih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 4:44 PM