GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Hasbi

Seremban: Kerajaan negeri menetapkan mana-mana individu yang memohon lesen untuk memelihara anjing wajib memandulkan haiwan berkenaan.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan Arul Kumar berkata, syarat tambahan itu dilaksanakan sebagai langkah mengawal populasi anjing liar selepas menerima banyak aduan di negeri itu.

"Kami lihat hampir semua kerajaan negeri bersetuju untuk mewajibkan usaha memandulkan anjing dan ada negeri yang sudah melaksanakannya.

"Kami berasakan ia satu cadangan yang baik. Perkara ini sudah dipersetujui dan kami akan minta supaya dapat disampaikan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pastikan langkah ini dapat dilaksanakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arul Kumar berkata, kerajaan negeri tidak melarang masyarakat di negeri itu untuk memelihara anjing, namun pemiliknya perlu lebih bertanggungjawab.

"Ini kerana terdapat segelintir pemilik yang membuang anjing atau anak anjing yang akhirnya mengganggu keselesaan penduduk.

"Kami tidak halang untuk bela anjing tetapi perlu mandulkan supaya dapat kawal populasi kerana anjing sejenis haiwan yang melahirkan banyak anak.

"Namun, pemiliknya hanya akan membela dua ke tiga ekor sahaja dan selebihnya dibuang yang akhirnya jadi anjing liar di kawasan tertentu," katanya.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini menyediakan pusat perlindungan anjing terbiar, namun ia dilihat tidak mampu mengatasi masalah anjing liar.

Sebelum ini kerap dilaporkan aduan penduduk di beberapa daerah di negeri ini yang berhadapan masalah anjing liar termasuk laporan seorang kanak-kanak yang digigit anjing di Port Dickson sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 2:06 PM