FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

New Delhi: Dua kanak-kanak terbunuh selepas dibaham anjing liar di Delhi, pada hujung minggu lalu, sehingga menghidupkan semula perdebatan mengenai konflik yang semakin meningkat antara anjing liar dan manusia.

Anand, 7, dan adiknya, Aditya, 5, tinggal di kawasan setinggan berhampiran kejiranan mewah Vasant Kunj, didakwa diserang hingga mati oleh sekumpulan anjing dalam dua kejadian berasingan.

Dalam kedua-dua kes, adik-beradik itu pergi ke hutan Sanjay Van untuk membuang air besar sebelum diserang, kata keluarga mereka.

"Kami tidak melihat anjing itu menyerang mereka tetapi kedua-dua mereka mempunyai luka yang dalam akibat serangan haiwan... anak saudara saya melihat beberapa anjing dengan darah di mulut mereka," kata ibu mereka Sushma kepada media tempatan.

Seorang pegawai polis yang sedang menyiasat kematian Anand dilaporkan mendengar kekecohan itu dan membawa Aditya ke hospital terdekat, di mana dia disahkan meninggal dunia.

India menyaksikan beberapa insiden sama dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan ia mencetuskan perdebatan baharu mengenai keseimbangan yang betul antara melindungi hak manusia dan haiwan termasuk anjing.

Mengikut undang-undang India, anjing jalanan tidak boleh dipukul, dibunuh, dihalau atau dipindahkan.

Seorang bayi berusia sebulan dilaporkan dibunuh oleh anjing liar di sebuah hospital yang dikendalikan kerajaan di daerah Sirohi Rajasthan, awal bulan ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hospital menunjukkan dua anjing memasuki wad dan kemudian muncul bersama bayi itu.

India adalah rumah kepada lebih 62 juta anjing, menurut Indeks Keadaan Gelandangan Haiwan Peliharaan, dan melaporkan 1.75 juta kes gigitan anjing setiap tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Populasi anjing liar yang besar dilihat sebagai kebimbangan kesihatan awam kerana banyak anjing membawa penyakit seperti rabies, dengan India mendahului senarai global kes rabies dan kira-kira 20,000 kematian setiap tahun, menurut WHO.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 10:39 AM