BANGKAI anjing liar disyaki mati disebabkan diracun terbiar di beberapa kawasan sekitar bandaraya Kuala Terengganu. FOTO Ihsan PPHTT
BANGKAI anjing liar disyaki mati disebabkan diracun terbiar di beberapa kawasan sekitar bandaraya Kuala Terengganu. FOTO Ihsan PPHTT
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan anjing liar berkeliaran diracun, walaupun haiwan itu mengancam keselamatan manusia dan ternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan akan berusaha menggunakan kaedah tertentu untuk mengawal populasi anjing liar daripada membiak sehingga menjadi tidak terkawal.

"Kita terkilan dengan dakwaan beratus ekor anjing liar mati disebabkan diracun seperti ditularkan melalui Facebook (FB) Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Terengganu (PPHTT), hari ini.

"Kerajaan tidak pernah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meracun untuk melupuskan anjing liar," katanya ketika dihubungi hari ini.

PPHTT mendakwa satu operasi penghapusan anjing gelandangan di sekitar bandaraya Kuala Terengganu dengan memberi makanan beracun, kemungkinan dicampur dengan racun perosak dilakukan pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Jabi mengesahkan turut menerima laporan beratus ekor ternakan peliharaan termasuk kambing dan biri-biri mati diserang anjing liar.

"Berdasarkan laporan awal, anjing liar ini diambil individu tertentu bertujuan menjaga kebun, tetapi dibiarkan berkeliaran selepas hasil tanaman berhasil.

"Walaupun kepentingan rakyat diutamakan, tetapi kaedah pelupusan anjing liar secara berperikemanusiaan perlu dilakukan," katanya.

Dr Azman berkata, JPV negeri dan PBT sudah diminta melakukan siasatan secara menyeluruh dakwaan PPHTT bahawa anjing liar berkeliaran mati disebabkan termakan racun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 1:10 PM