KAWASAN Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, dipilih menjadi tapak projek perintis bagi mengkaji dan melihat kesan aktiviti perlombongan bijih unsur nadir bumi (REE). FOTO Arkib NSTP
KAWASAN Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, dipilih menjadi tapak projek perintis bagi mengkaji dan melihat kesan aktiviti perlombongan bijih unsur nadir bumi (REE). FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, dipilih menjadi tapak projek perintis bagi mengkaji dan melihat kesan aktiviti perlombongan bijih unsur nadir bumi (REE) di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kajian itu antaranya adalah bagi melihat impak kegiatan itu kepada kawasan persekitaran hutan dan tanah yang menjadi kawasan melombong REE di dalam hutan simpan kekal (HSK).

"Terima kasih kepada kementerian berkaitan kerana memilih Bukit Enggang sebagai perintis projek untuk kajian kesan perlombongan REE di Malaysia.

"Kerajaan negeri bersedia memberi kerjasama penuh untuk kajian itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan negeri kini dibenarkan membuat penerokaan awal REE berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan bijih REE dan mineral berkaitan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang berlangsung semalam.

Katanya, jawatankuasa itu juga akan melihat keperluan dalam melaksanakan rangka kerja kebangsaan bagi pembangunan industri mineral, contohnya bagi tujuan pengekstrakan REE.

Sebelum ini, Kedah mencetuskan kontroversi apabila kerajaan negeri didakwa terbabit dalam kegiatan melombong bijih REE secara haram yang dilakukan kumpulan warga asing di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menafikan perkara itu, sebaliknya mendakwa berlaku kecurian bijih berkenaan dengan kerajaan negeri melalui agensi berkaitan sudah melakukan tindakan penguatkuasaan termasuk menuduh individu terbabit di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 2:29 PM