Noorazura Abdul Rahman


Bandar Baharu: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan undang-undang yang mahu diambil oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE).

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan beliau mempunyai banyak bukti untuk menyokong dakwaan itu dan akan terus berdiri teguh dengan dakwaannya.

Katanya, fakta yang tidak boleh diubah dalam kes kecurian REE di Kedah adalah tidak ada syarikat yang diberikan lesen eksport sehingga mineral yang diperoleh secara tidak sah itu boleh dibawa sehingga ke Pelabuhan Klang, Selangor.

"Tak apa saya mengalu-alukan (tindakan undang-undang), terus saja. Masih banyak persoalan yang perlu dijawab oleh beliau kerana beliau tidak boleh menyatakan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah tiada kaitan dengan kejadian itu.

"Fakta lain sebahagian yang ditangkap telah dibuat pertuduhan di bawah subseksyen berkaitan, fakta berikutnya memang benar MBI Kedah diberikan notis kompaun oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG).

"Fakta berikutnya MBI Kedah antara berbelas syarikat yang diberikan lesen oleh kerajaan negeri, sama ada meneroka atau mencari gali, tetapi yang paling jelas kesemua yang memperoleh lesen itu tidak ada kebenaran lesen melombong," katanya ketika ditemui selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menyatakan beliau akan membuat laporan polis terhadap kenyataan Saifuddin yang mendakwa Menteri Besar Kedah itu dikenakan kompaun berjumlah RM500,000 oleh PTG kerana mencuri REE di Hutan Simpan Bukti Enggang, Sik.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi memaklumkan MBI Kedah yang mana beliau selaku pengerusinya bukan dikompaun atas kesalahan mencuri nadir bumi tetapi disebabkan anak syarikat kerajaan negeri itu adalah pemegang permit ladang hutan di kawasan yang berlaku kecurian.

Saifuddin berkata belum ada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan nadir bumi yang disediakan oleh Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim seperti dimaklumkan sendiri oleh Muhammad Sanusi bahawa mereka sedang menunggu perkara itu.

"Datuk Seri Sanusi selalu sebut kerajaan Kedah sedang tunggu SOP yang perlu dibangunkan sebab mineral REE ini penemuan baharu bukan sahaja di Kedah tetapi banyak negeri di semenanjung.

"Malah yang ditangkap sebelum ini termasuk warga asing dan mereka ada yang visa kerja dikeluarkan daripada perakuan MBI Kedah.

"Masuk bekerja betul diuruskan oleh MBI dan syarikat (usahasama) berkenaan dan (akhirnya) ditangkap mesti ada sebab antaranya ceroboh hutan simpan yang kalau masuk tanpa permit jabatan hutan boleh ditangkap, itu realiti Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 7:36 PM