MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan unsur nadir bumi (REE) yang akan dikeluarkan kerajaan dapat mengatasi aktiviti kecurian hasil mineral itu di seluruh negara.

Katanya, beliau lega dengan langkah itu selepas menunggu sekian lama bagi memulakan aktiviti meneroka REE sebagai pendapatan baharu kerajaan negeri.

"REE ini bukan hanya di Kedah tapi hampir semua negeri ada REE. Saya lega kalau dah ada SOP, kita boleh mulakan (perlombongan). Kita terpaksa tunggu itu (SOP) saja selama ini sampai orang curi (REE). Kita akan ikut SOP itu.

"Harap tak ada kecurian (REE) lagi (bila) sudah ada SOP. Kerajaan negeri dah boleh buat kelulusan berdasarkan SOP itu, jadi kecurian dapat diatasi," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan jawatankuasa berkaitan mineral yang dipengerusikannya di bawah Majlis Mineral Negara akan dipanggil untuk berbincang mengenai garis panduan dan SOP berkaitan REE.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Exco negeri yang bertanggungjawab berkaitan mineral dan galian.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains serta Hasil Bumi negeri menyambut baik pengeluaran SOP itu.

"Alhamdulillah kalau ada SOP tu saya ucap terima kasih kepada Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim serta Menterinya, Nik Nazmi kerana tindak balas yang pantas.

"Saya harap Kedah akan ada hasil baharu daripada REE berdasarkan SOP itu. Deposit (REE) paling besar ada di Terengganu, sebelum ini yang diteroka jadi projek perintis untuk membangunkan SOP di Perak dan sepatutnya Kedah negeri kedua untuk projek perintis," katanya.

Kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik menjadi polemik sebelum ini termasuk menjadi modal kempen ketika pilihan raya negeri (PRN) Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 6:29 PM