Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Pembantu kedai vape mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki cecair disyaki dadah jenis ketamin, bulan lalu.

Tertuduh, Puveendran, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati dalam milikannya cecair disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 570 mililiter.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira 7 malam, 29 September di Lukut Prima, Port Dickson.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes 4 Disember ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, modus operandi suspek dipercayai mencampurkan cecair 'vape mushroom' dengan dadah jenis Ketamin.

Katanya, ia kemudian dijual kepada remaja dan pelajar di sekitar Lukut dan Port Dickson.

Terdahulu, polis merampas sebotol cecair yang mengandungi dadah dipercayai ketamin bersama 12 botol cecair 'flavour' yang dibungkus semula dalam kuantiti lebih kecil sebelum dijual.

Keseluruhan rampasan sebanyak 570 mililiter yang dianggarkan bernilai RM17,000.

PUVEENDRAN ketika dibawa ke Mahkamah Magisterat Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
PUVEENDRAN ketika dibawa ke Mahkamah Magisterat Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 11:48 AM