Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang guru lelaki berusia 48 tahun cemas apabila melanggar seorang pejalan kaki sebelum merempuh pula restoran ketika mahu mengundurkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu di kawasan parkir di Lukut di sini.

Saksi kejadian yang juga pelanggan restoran, Samy, 51, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang minum di dalam premis itu sekitar jam 11.30 pagi tadi.

Menurutnya, bunyi dentuman kuat berlaku mendadak sebelum dia melihat seorang lelaki terbaring di bawah MPV yang merempuh masuk restoran itu.

"Saya bersama beberapa saksi lain cuba membantu mengeluarkan mangsa yang cedera di muka dan tangan akibat dilanggar MPV itu.

"Kami kemudian berusaha mengangkat bahagian belakang kenderaan itu beramai-ramai sebelum mangsa lelaki itu diselamatkan," katanya.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati pemandu MPV terbabit terbabas masuk ke dalam restoran itu ketika mengundurkan kenderaannya.

"Pemandu itu bagaimanapun hilang kawalan lalu melanggar sebuah motosikal yang diletakkan di kawasan parkir serta melanggar pejalan kaki yang berada di belakang kenderaannya itu.

"Akibat kemalangan itu, mangsa, R. Palanianyi, 63, cedera di kepala dan patah tangan kiri," katanya ketika dihubungi semalam.

Walau bagaimana pun pemandu MPV itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Mangsa, R. Palanianyi, 63, cedera di kepala dan patah tangan kiri selepas dilanggar kereta. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mangsa, R. Palanianyi, 63, cedera di kepala dan patah tangan kiri selepas dilanggar kereta. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 6:30 PM