Mohd Khidir Zakaria


SEORANG lelaki yang juga peniaga mengaku bersalah atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol ketika pertuduhan di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini.

Sebelum itu, tertuduh hadir pada 8.30 pagi ke Mahkamah Majistret Port Dickson dengan kenderaan polis berpakaian kemeja warna biru dan oren, berseluar jeans hitam serta memakai pelitup muka diiringi anggota polis.

Pengakuan itu dibuat tertuduh di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh, A Devarajan, 34, ahli perniagaan didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol dan dipercayai dalam keadaan mabuk.

Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 3.2, Jalan Pantai dari arah Teluk Kemang menghala ke Lukut apabila kereta BMW yang dipandu tertuduh bergesel dengan sebuah kenderaan lain jenis Honda dari arah yang sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, memandu dalam keadaan mabuk boleh didenda tidak kurang RM1,000 tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

TERTUDUH, A Devarajan, 34, (kanan) ketika di bawa anggota polis atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk ketika di Mahkamah Majisterat Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
TERTUDUH, A Devarajan, 34, (kanan) ketika di bawa anggota polis atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk ketika di Mahkamah Majisterat Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Devarajan mengangguk tanda faham dan mengaku bersalah dan Majisterat menjatuhkan hukuman denda RM5,500 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam menjelaskan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 12:39 PM