Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melarikan, menyamar polis dan membunuh seorang juruteknik di Bandar Bandar Springhill, Lukut, bulan lalu

Tertuduh, A Devadas, 41, yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan dan P Xavier, 43, yang bekerja sebagai pemandu lori mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh bagi kesalahan melarikan dan membunuh selepas pertuduhan dibacakan.

Manakala bagi pertuduhan menyamar polis, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh bersama-sama dua orang yang sudah didakwa dan seorang yang masih bebas dituduh membunuh AVasuden, 39.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Springhill 3/3, Bandar Springhill, Lukut di sini antara jam 5.40 hingga 9.45 pagi, 13 November lalu.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan kedua iaitu melarikan mangsa, mereka didakwa mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati perlu disebat.

DUA tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
DUA tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Seterusnya bagi pertuduhan ketiga pula, kedua-dua tertuduh turut didakwa menyamar sebagai polis kepada isteri mangsa, S.Hindumathy, 38, sedangkan mereka bukanlah seorang penjawat awam yang sah.

Kesalahan itu dilakukan pada masa dan lokasi yang sama dan mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang boleh dihukum penjara dua tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Sukhdev Singh.

Mahkamah menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula.

Pada 23 November lalu, media melaporkan M Murugan, 44, yang bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan dan Wong Yon Kuan, 43, penganggur didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh, menculik Vasudevan serta menyamar sebagai anggota polis di Bandar Springhill, Lukut.

Bagaimanapun tidak pengakuan direkodkan bagi kesalahan membunuh dan melarikan mangsa.

Polis juga masih memburu seorang individu masih bebas yang dipercayai terbabit dalam kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 11:45 AM