EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman pada sidang media sempena KUAM 2023 di LTAM. FOTO AMIR MAMAT
EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman pada sidang media sempena KUAM 2023 di LTAM. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 yang bakal membuka tirai Jumaat ini, bakal menghimpunkan 41 pesawat pelbagai model, teknologi aeroangkasa tercanggih dan pertunjukan penerbangan.

EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman, berkata sekurang-kurangnya 45,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka dijangka akan memeriahkan acara yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini.

Beliau berkata, seperti penganjuran sebelum ini, KUAM 2023 akan menyediakan pelbagai pameran serta aktiviti yang boleh disertai pengunjung termasuk menaiki helikopter dengan caj bayaran paling minimum.

"Pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang mempunyai unit udara akan menyertai karnival ini dan dalam masa sama, kita undang persatuan atau kelab penerbangan seluruh negara serta beberapa penyertaan luar negara iaitu Singapura, Jerman, Rusia, Taiwan dan Australia.

"Penganjuran tahun ini akan menjadi penanda aras kepada penganjuran karnival yang sama tahun depan dan sudah pasti KUAM 2024 nanti akan lebih meriah kerana diadakan serentak dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024)," katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat pelaksanaan KUAM 2023 di LTAM, di sini hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka,Sa'ari Basiron.

KUAM 2023 berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini dengan perasmian penutup akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada Ahad ini.

Tiket masuk akan dikenakan kepada pengunjung dengan RM5 untuk dewasa manakala kanak-kanak RM2.

Mengulas lanjut, Abd Razak berkata, sempena karnival berkenaan, pengunjung akan diberikan peluang menaiki helikopter meninjau ruang udara Melaka selama 10 minit dengan ketinggian kira-kira 5,000 kaki dari aras laut.

Katanya, caj serendah RM270 dikenakan untuk setiap pengunjung yang berhasrat untuk menaiki pesawat udara terbabit.

"Saya yakin KUAM 2023 ini akan bertambah meriah jika semua masyarakat, khususnya penduduk Melaka memberikan sokongan terhadap penganjurannya.

"Justeru, saya mempelawa semua penduduk negeri ini untuk hadir dan memeriahkan aktiviti sepanjang karnival ini berlangsung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 5:33 PM