Keadaan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat remaja rosak teruk dalam kemalangan di Lebuhraya Langkawi. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat remaja rosak teruk dalam kemalangan di Lebuhraya Langkawi. FOTO IHSAN POLIS
Hamzah Osman


Langkawi: Dua mangsa yang cedera parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Langkawi, kelmarin, meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata kedua-dua mangsa berusia 18 tahun yang juga penumpang kenderaan terbabit.

"Dua mangsa, Muhammad Fizz Razwail Zainuddin disahkan meninggal dunia pada jam 10.53 malam tadi, manakala Muhammad Haikal Hakim Che Isa, 8.59 pagi hari ini.

"Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia sebelum itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Maliha (HSM)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shariman berkata, laporan bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah dan kegagalan pelbagai organ.

Difahamkan, kedua-dua jenazah sudah dituntut keluarga dan dibawa pulang untuk dikebumikan.

Semalam, media melaporkan dua parah manakala dua lagi termasuk pemandu cedera ringan dalam kemalangan membabitkan MPV dinaiki empat remaja ketika jalan basah dan hujan renyai-renyai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 12:54 PM