DUA maut dan empat parah apabila MPV dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok di Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, hari ini. FOTO ihsan polis.
DUA maut dan empat parah apabila MPV dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok di Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat, Langkawi, hari ini. FOTO ihsan polis.
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang anggota tentera dan pelajar maut manakala empat penumpang lain parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kampung Kilim, Ayer Hangat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.05 petang itu, anggota tentera yang juga pemandu kereta, Mohd Firdaus Nor Shaidi, 23, meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha (HSM), manakala seorang lagi mangsa, Maizatul Hana Mohd Rosdan, 21, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa berusia antara 21 hingga 27 tahun itu adalah pelancong sedang bercuti di pulau itu.

Beliau berkata, semua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan menaiki MPV Toyota Avanza dalam perjalanan dari Kuah menghala ke Ayer Hangat.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawasan sebelum terbabas dan merempuh pokok di bahu jalan Kampung Kilim.

"Kenderaan terbabit dipercayai dipandu laju di jalan lurus ketika hujan renyai," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Shariman berkata, akibat impak perlanggaran kuat, MPV itu remuk teruk dan semua mangsa tercampak keluar dari kenderaan.

Menurutnya, seorang penumpang wanita meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu meninggal dunia di Unit Kecemasan HSM.

"Seramai empat mangsa terselamat, namun parah dan dihantar ke HSM bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Ssemua waris mangsa dimaklumkan mengenai kejadian dan proses bedah siasat ke atas mangsa meninggal dunia akan dilakukan pagi esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 10:32 PM