KEADAAN di lokasi kemalangan maut membabitkan dua motosikal di Kampung Kumpulan, Jalan Ulu Melaka, Langkawi. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN di lokasi kemalangan maut membabitkan dua motosikal di Kampung Kumpulan, Jalan Ulu Melaka, Langkawi. FOTO Ihsan Pembaca
Hamzah Osman


Langkawi: Dua maut manakala dua lagi cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung di Kampung Kumpulan, Jalan Ulu Melaka di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa warga Myanmar, Anas Ali, 28, dan pelajar, Ku Nur Shahrizal Ku Nor Sazali, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata kemalangan membabitkan dua motosikal yang ditunggang Anas dan Ku Nur Shahrizal.

"Ketika kejadian motosikal yang ditunggang Anas bersama dua pembonceng dalam perjalanan dari arah Ulu Melaka menghala ke Ayer Hangat.

"Manakala motosikal ditunggang Ku Nur Shahrizal dari arah bertentangan dan mereka dipercayai bertembung secara berdepan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, impak kuat menyebabkan kedua-dua penunggang cedera parah dan masing-masing jatuh berdekatan motosikal serta meninggal dunia di tempat kejadian.

"Sementara, dua pembonceng, wanita dan kanak-kanak masing-masing berusia 20 dan lima tahun dilaporkan tercampak kira-kira 10 meter, cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk rawatan.

"Kedua-dua mayat telah dibawa ke Unit Forensik HSM untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 10:20 AM