DUA suspek lelaki berusia 26 dan 28 tahun bersama dadah yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
DUA suspek lelaki berusia 26 dan 28 tahun bersama dadah yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Hamzah Osman


Langkawi: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dalam serbuan di sebuah bilik sewa di Kampung Chandek Kura, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 26 dan 28 tahun itu ditahan dalam bilik yang dijadikan 'port' membungkus dan menghisap dadah itu pada 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata polis menyerbu bilik berkenaan selepas menerima maklumat awam.

"Pemeriksaan atas lantai bilik menemui enam peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 10.50 gram (g).

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shariman berkata, ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, polis percaya bilik sewa itu dijadikan tempat mereka menghisap dan membungkus dadah untuk diedarkan kepada penagih.

"Kedua-dua suspek disiasat bawah Seksyen Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 9:30 AM