TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO video tular
TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO video tular
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan polis selepas mengasari individu lain menggunakan sebatang besi di kawasan Taman Danau Desa, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfield Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan video terbabit sekitar 12.15 tengah hari semalam.

Menurutnya, satu laporan berhubung kejadian diterima dan dibuat lelaki tempatan berusia 48 tahun.

"Kejadian dipercayai berlaku Isnin lalu, lebih kurang 9.55 pagi di kawasan Taman Danau Desa dan suspek berusia 45 tahun ditahan keesokannya, Selasa lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, tempoh tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah diperoleh selama tiga hari daripada Majistret Kuala Lumpur.

"Kertas siasatan akan diedar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur untuk mendapatkan arahan lanjut," katanya.

Beliau juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dengan video tular terbabit.

"Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Terdahulu, video insiden berkenaan yang berdurasi satu minit 26 saat yang dimuat naik pengguna di Twitter tular di media sosial semalam.

From: Hafidzul

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 3:22 PM