BEG yang disangka mengandungi bom. FOTO ihsan polis
BEG yang disangka mengandungi bom. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pengunjung di Jalan Telawi, Bangsar, di sini, gempar dengan penemuan beg pakaian yang disangka mengandungi bom, semalam.

Beg pakaian yang ditemui di tepi tong sampah berhampiran sebuah kedai basikal diperiksa oleh pasukan Unit Pemusnah Bom yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada 4.15 petang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan ternampak beg pakaian dalam keadaan sempurna di kawasan berkenaan.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, anggota Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Unit Anjing Pengesan (K9) menjalankan pemeriksaan objek yang disyaki bom di dalam beg berkenaan.

"Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk (bahan letupan) ditemui di dalam beg itu.

"Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian memaparkan rakaman imej separuh badan dan menunjukkan lelaki memakai seluar pendek meletakkan beg bagasi di lokasi kejadian sebelum beredar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, orang awam dinasihatkan supaya tidak panik apabila menemukan sebarang objek dalam keadaan yang meragukan dan terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

"Saksi awam di tempat kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan individu yang mungkin terbabit dalam insiden berkenaan diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan.

"Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 11:30 AM