GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga asing maut dihempap tiang besi kren di tapak pembinaan di Jalan Kuchai Maju, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam kejadian pada 11 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun disahkan maut di lokasi selepas sebatang tiang besi kren terjatuh lalu menghempap mangsa.

Menurutnya, tiang besi itu sebelum itu sudah diturunkan ke tanah, namun tidak stabil ketika proses dijalankan lalu menghempap mangsa.

"Mangsa yang bekerja di tapak pembinaan itu disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.

"Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kemalangan ini," katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 5:57 PM