TERTUDUH Low Foo Keong dan Low Foo Wai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini. FOTO AHMAD HASBI.
TERTUDUH Low Foo Keong dan Low Foo Wai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini. FOTO AHMAD HASBI.
Ahmad Hasbi


Seremban: Dua pemilik syarikat kitar semula dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan memberikan suapan sebanyak RM4,000 kepada Penguatkuasa Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp), Disember lalu.

Low Foo Keong, 41 dan Low Foo Wai, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mazni Nawi selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama secara rasuah memberikan suatu suapan, iaitu wang tunai RM4,000 kepada Penguatkuasa SWCorp Pejabat Cawangan Seremban.

Ia sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap tertuduh sebagai pemilik syarikat W&P Recycling And Trading kerana didapati telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Kesalahan dilakukan di sebuah bank dekat Jalan Dato Bandar Tunggal, di sini, pada 14 Disember tahun lalu.

Dengan itu tertuduh melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara perkara kesalahan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mazni menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini.

Sebutan semula kes pada 23 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 5:02 PM