Norzamira Che Noh


Shah Alam: Penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas dua pertuduhan menawarkan dan memberi rasuah berjumlah RM120,000 kepada seorang anggota polis pada Mei lalu.

Tertuduh, Abd Aziz Abdullah @ Shariff, 39, mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menawarkan suapan wang tunai RM120,000 kepada anggota polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sebagai satu dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana memiliki dadah jenis syabu yang mana ia kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Abd Aziz didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6 petang, 24 Mei lalu di kawasan letak kereta Mass Railway Transit (MRT) Sri Damansara Sentral, Bandar Sri Damansara, Sungai Buloh.

NOR Syazwani menunjukkan kesan pembedahan memasukkan kimopod pada badan anaknya, Putri Izzatunnisa sambil diperhatikan Zuraini (kanan). FOTO ihsan Zuraini Kamal
NOR Syazwani menunjukkan kesan pembedahan memasukkan kimopod pada badan anaknya, Putri Izzatunnisa sambil diperhatikan Zuraini (kanan). FOTO ihsan Zuraini Kamal

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh pada hari yang sama secara rasuah memberikan wang tunai RM120,000 menerusi seorang individu lain kepada anggota polis yang sama bagi tujuan yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 malam di sebuah stesen minyak di Jalan Mahogani, Petaling Jaya.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh kini dalam tahanan reman bersabit kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 12 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 10:48 AM