MISNAN dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
MISNAN dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Seorang bekas sarjan polis yang baru dua bulan bersara dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas lima pertuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM3,150 sebagai imbuhan untuk menghalang tiga individu dikenakan tindakan undang-undang membabitkan kes dadah.

Lelaki itu, Misnan Saari, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju sebelum ini didakwa menerima RM200 daripada Azmi Abdul Talib dengan tiada balasan iaitu tertuduh mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Tingkat 3 Blok D IPD Wangsa Maju jam 4.40 petang, 27 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Misnah didakwa meminta wang RM1,000 sebelum bersetuju menerima masing-masing RM250 dan RM200 daripada Aizi Ikhffa Ahmad.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Aizi Ikhffa yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat sama antara jam 8.30 malam pada 27 Mac 2016 hingga 2 petang keesokkan harinya.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah dan Hakim Allaudeen Ismail.

Misnan juga didakwa secara rasuah memperoleh RM1,500 daripada Muhammad Shah Radhi Hazvee sebagai dorongan untuk tidak membawanya ke mahkamah atas kesalahan dadah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di stesen minyak di Jalan Ipoh, di sini, antara jam 2.50 petang dan 3 petang pada 30 September 2015.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Norman Mohd Nasir.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.

Selain itu, mahkamah juga menetapkan 23 November dan 27 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 4:09 AM