ALLAHYARHAM Datuk Pahamin Rajab. FOTO Ihsan FB Istana Negara
ALLAHYARHAM Datuk Pahamin Rajab. FOTO Ihsan FB Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Pengerusi dan Pengasas bersama AirAsia Bhd Datuk Pahamin A Rajab yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

"Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara," menurut hantaran itu.

Pahamin, 77, disahkan meninggal dunia di London, United Kingdom, malam tadi akibat serangan jantung.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula 1998 hingga 2001 dan sebelum itu sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1974 hingga 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 4:51 PM