Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Beberapa nama disebut-sebut bakal mengisi jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikosongkan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay selepas menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, 23 Jun lalu.

Antara nama yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan penting dalam pasukan itu ialah Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din yang kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Sebelum ini jabatan itu diterajui Ayob Khan bagi menggantikan Datuk Seri Jalil Hassan yang bersara pada 16 April lalu namun hanya menjawat jawatan itu selama dua bulan selepas dinaikkan pangkat.

Kedua-dua pegawai kanan itu berpengalaman luas dalam siasatan jenayah, siasatan jenayah komersil dan cawangan khas.

Jawatan Pengarah JSJ kini dipangku oleh Timbalan Pengarah JSJ, Datuk Suresh Kumar G Suppiah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail dalam sidang medianya pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara baru-baru ini berkata, pihaknya masih belum memutuskan pengganti bagi jawatan itu.

Minggu lalu kerajaan memutuskan pertukaran beberapa jawatan penting dalam pasukan itu antaranya jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara.

Jawatan itu masing-masing diisi Tan Sri Razarudin Husain dan Ayob Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 12:53 PM