Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani
Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani disebut-sebut diangkat menjadi Ketua Polis Negara (KPN) selepas kontrak Tan Sri Abdul Hamid Bador tamat, 3 Mei ini.

Kedudukan beliau kini, yang juga sebagai orang nombor dua di pasukan Sang Saka Biru melayakkan namanya dipertimbangkan ke jawatan nombor satu di Bukit Aman itu. Bagaimanapun, pelantikan berkenaan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod, Acryl Sani berpengalaman luas dalam tugas kepolisan dan pernah menjadi Pengarah di beberapa jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Sumber Strategik dan Pengarah Teknologi (StaRT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) selain menjadi pegawai penyiasat, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Negeri.

Sekiranya pergerakan itu berlaku, nama Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya dan Pengarah Pengurusan, Datuk Ramli Din antara disebut-sebut diangkat ke jawatan Timbalan KPN.

Bagaimanapun ada versi kedua mengatakan Ramli akan diangkat ke jawatan nombor dua dalam pasukan itu manakala Zamri pula diletakkan untuk memimpin Cawangan Khas.

RAMLI pada majlis berbuka puasa, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang.
RAMLI pada majlis berbuka puasa, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Disebabkan beberapa Pengarah juga dijadualkan bersara wajib antara Mei hingga September ini, sudah tentu ia turut membabitkan pergerakan lain.

Antaranya spekulasi yang bertiup kencang, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay disebut-sebut diangkat untuk menerajui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) manakala Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abdul Jalil Hassan pula dikatakan akan diletakkan memimpin JSJK.

Semalam, Harian Metro melaporkan Abdul Hamid bertegas akan menyerahkan tongkat kuasanya kepada pengganti selepas kontraknya sebagai Bukit Aman 1 berakhir biarpun ada pihak menyarankannya menyambung khidmat.

"Kontrak saya akan tamat pada 3 haribulan (Mei), maka pada tarikh itu saya akan serah (tugas kepada pengganti)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 11:27 AM