RAZARUDIN Husain. FOTO arkib NSTP
RAZARUDIN Husain. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini mengumumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid sebagai Ketua Polis Negara baharu.

KDN turut mengumumkan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.

Kedua-dua lantikan berkenaan akan berkuatkuasa bermula 23 Jun ini.

Razarudin dilantik secara kontrak selama dua tahun sehingga 22 Jun 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Yang di Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) memperkenan pelantikan berkenaan.

"Adalah dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan SPP memperkenan pelantikan secara kontrak selepas bersara Tan Sri Razarudin Bin Husain @ Abd Rasid sebagai Ketua Polis Negara dan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai 23 Jun ini,"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata, Razarudin, 60, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor.

"Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.

"Beliau memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan berkenaan sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor," katanya.

Saifuddin berkata, beliau kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997.

"Pada tahun 1998 beliau kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan yang sama di Kontinjen Johor. Pada tahun 2000, beliau meneruskan khidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang sebelum menyambung pelajaran di Maktab PDRM Cheras.

"Kemudian beliau ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan berkhidmat selama tiga tahun di situ.

"Beliau kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintendan dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana. Sekembalinya dari belajar, beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman," katanya.

Menurutnya, selepas itu beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.

"Beliau dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu, seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak.

"Kemudian beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai tahun 2021 sehingga kini," katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Ayob, 57, tahun dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah.

"Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.

"Ayob memulakan tugas pada tahun 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis selama 15 tahun.

"Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Amansebelum kembali ke Cawangan Khas dengan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis pada tahun 2016," katanya.

Menurutnya, beliau berkhidmat selama empat tahun dan dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis pada tahun 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.

"Pada tahun 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan kini berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

"Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 12:21 PM