Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah antara Asisten Komisioner Nanda Maarof (kiri) dengan Asisten Komisioner Arifai Taware (kanan) sambil disaksikan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Abd Khalid Othman. Foto Ahmad Hasbi
Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah antara Asisten Komisioner Nanda Maarof (kiri) dengan Asisten Komisioner Arifai Taware (kanan) sambil disaksikan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Abd Khalid Othman. Foto Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Ketua Polis Daerah Seremban yang baharu akan memberi fokus terhadap 'amaran terakhir' yang dibuat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung kegiatan judi atas talian (JOL) di daerah masing-masing.

Asisten Komisioner Arifai Taware berkata, bagi mengekang aktiviti JOL itu, dia akan mempertingkatkan integriti dalam kalangan warga kerjanya.

"Satu daripada tiga fokus utama Ketua Polis Negara adalah meningkatkan integriti, selari dengan kehendak Pengarah JSJ. Kami akan tengok di mana sebenarnya punca, kita akan pantau dan cari.

"Seterusnya mengambil tindakan tegas. Tiada kompromi terhadap sebarang isu JOL dan perkara lain yang bercanggah dengan undang-undang," katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seremban, di sini, hari ini.

Asisten Komisioner Nanda Maarof yang bersara menyerahkan tugas kepada Arifai yang sebelum ini sebagai Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sambil disaksikan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Abd Khalid Othman.

Media pada 15 Mei lalu melaporkan tiada lagi amaran daripada JSJ Bukit Aman terhadap Ketua Polis Daerah yang didapati gagal menangani aktiviti perjudian dalam di daerah masing-masing.

Ayob Khan dilaporkan berkata, Ketua Polis Daerah sudah menandatangani aku janji untuk memastikan tiada aktiviti perjudian haram di daerah masing-masing.

Mengulas lanjut Arifai berkata, meskipun pernah menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Gombak sebelum ini, kehadirannya ke tempat baharu juga seolah orang baru.

"Jawatan dan pangkat datang dengan tanggungjawab dan saya akan teruskan kecemerlangan yang dilakukan Tuan Nanda. Kita akan buat penambaikan yang perlu dilakukan demi kesejahteraan dan keselataman Seremban.

Sementara itu, Nanda berkata, selepas 38 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), hatinya berat untuk meninggalkan agensi itu.

"Tugas sebagai Ketua Polis Daerah bukan sesuatu yang mudah. Tuan Arifai sudah mempunyai pengalaman sebelum ini, jadi terpulang kepadanya untuk membuat sebarang penambaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 2:26 PM