MOHD Syukril Azizi  bersama anaknya, Nurul Jannah yang menghidap barah saraf neuroblastoma tahap empat. FOTO Ihsan Mohd Syukril Azizi Jusoh
MOHD Syukril Azizi bersama anaknya, Nurul Jannah yang menghidap barah saraf neuroblastoma tahap empat. FOTO Ihsan Mohd Syukril Azizi Jusoh
Redzuan Muharam


Kota Bharu: "Selagi termampu, saya akan cuba gembirakan dan penuhi impiannya... saya juga tak minta lebih cuma mohon Allah permudahkan urusan saya.

"Sakit atau sembuh anak saya, semua dengan izin-Nya," kata bapa tiga anak, Mohd Syukril Azizi Jusoh.

Besarnya pengorbanan Mohd Syukril Azizi, 43, kerana sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat kurier dua tahun lalu untuk menjaga dan memberi tumpuan kepada anak sulungnya, Nurul Jannah, 9, yang kini terlantar akibat barah saraf neuroblastoma tahap empat.

Kisahnya itu mendapat perhatian selepas satu daripada video dimuat naik di TikTok tular.

Menerusi video itu, Mohd Syukril Azizi dilihat mengangkat Nurul Jannah yang terbaring di atas pelampung kemudian membawa anaknya itu ke kolam renang.

Berkongsi kisah itu, Mohd Syukril Azizi yang menetap di Kampung Bijai Banggu, di sini tidak menyangka video dimuat naiknya itu tular kerana sekadar berkongsi di TikTok sebagai kenangan.

"Baru-baru ini, saya bawa keluarga menginap di sebuah inap desa di Bachok dan tahu Nurul Jannah tak boleh mandi.

"Tapi saya letak dia (Nurul Jannah) atas pelampung dan angkat bawa ke kolam renang kerana ingin menunaikan impiannya untuk mandi kolam.

"Saya minta isteri rakam detik itu kerana nak buat kenangan dan tak sangka ramai tersentuh selepas menonton video berkenaan.

"Ikutkan, saya aktifkan akaun TikTok pun kerana ikut permintaan anak selain kongsi kenangan. Saya berharap mereka menonton dapat titipkan doa kerana mungkin dalam kalangan mereka, ada doa yang Allah makbulkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi perihal Nurul Jannah, Mohd Syukril Azizi berkata, anaknya disahkan menghidap barah saraf ketika berusia empat tahun.

Katanya, Nurul Jannah sudah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam perut di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II).

Ia disusuli rawatan kemoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini diikuti radioterapi di Hospital Kuala Kumpur (HKL), Kuala Lumpur tahun lalu.

"Sesi rawatan kemoterapi berjalan lancar cuma dia (Nurul Jannah) ada alahan ubat dan buat masa ini sel barahnya masih aktif serta bertahan dengan ubat morfin dibekalkan hospital untuk mengurangkan sakit.

"Sebelum itu, anak saya diberi ubat kemo beta@karziba sebanyak tujuh kali namun sel barahnya tetap ada jadi doktor sahkan dia di bawah penjagaan paliatif (tiada ubat).

"Dia juga tak boleh berjalan sejak sebelum Ramadan lalu dan selera makannya juga kurang sejak sakit.

"Apa boleh saya katakan, kehidupan anak saya tak macam kanak-kanak lain kerana masanya banyak dihabiskan di hospital malah hanya sempat bersekolah selama sebulan saja.

"Itu pun waktu prasekolah ketika berusia lima tahun sebelum barahnya menyerang semula," katanya.

Mohd Syukril Azizi mengakui putus semangat ketika dimaklumkan doktor mengenai penyakit anaknya, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, besar harapannya untuk melihat ada keajaiban iaitu Nurul Jannah kembali sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain.

"Sebagai ayah, saya memang nak dia (Nurul Jannah) membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain namun apakan daya, takdirnya begitu.

"Memang sedih pada awalnya namun lama kelamaan dapat terima, reda dengan ketentuan Allah dan boleh hadap selepas masuk wad dan tengok pesakit lain yang ujiannya lebih berat.

"Dia (Nurul Jannah) tanya juga kenapa Allah uji dengan penyakit sampai dia tak boleh pergi sekolah tetapi saya beritahu syurga itu mahal dan bagi dia kata semangat walaupun ramai rakan sebayanya sudah pergi," katanya yang bangun seawal jam 6 pagi untuk menguruskan Nurul Jannah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 4:23 PM