Nurul Jannah Abdul Rahman yang menghidap kanser ovari tahap empat dan suaminya, Mohd Shukri Ismail melihat laporan perubatan hospital. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Nurul Jannah Abdul Rahman yang menghidap kanser ovari tahap empat dan suaminya, Mohd Shukri Ismail melihat laporan perubatan hospital. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Hasrat pasangan suami isteri untuk menambah cahaya mata tidak kesampaian apabila si isteri disahkan menghidap barah ovari, dua bulan lalu.

Malah, sebelah bahagian ovari kanan Nurul Jannah Abdul Rahman, 34, sudah dibuang menerusi pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) awal bulan lalu, manakala ovari kirinya pula membengkak disebabkan sel barah sudah merebak.

Lebih menyedihkan apabila barah yang pada mulanya dikesan tahap dua kini sudah merebak ke tahap empat malah terus merebak ke bahagian hati.

"Sepatutnya saya menjalani rawatan kemoterapi kedua hari ini tetapi terpaksa ditangguhkan kerana doktor hendak lihat dahulu keadaan dalam hati saya sebelum meneruskan rawatan itu.

"Sel barah ini sangat cepat merebak dan saya berserah kepada Allah SWT dan akan meneruskan rawatan," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Teluk Bagan, Tandop, hari ini.

Menurut Nurul Jannah, dia dan suami, Mohd Shukri Ismail, 40, memang teringin hendak menambah cahaya mata selepas anak sulung, Muhammad Rayyan Qalbi Mohd Shukri, 11, semakin membesar.

"Pada mulanya, saya sangka badan saya penuh angin dan menjalani pemeriksaan kesihatan di HSB sebelum doktor mengesahkan saya mempunyai ketumbuhan (cyst) selepas menjalani ujian imbasan.

"Ketumbuhan itu semakin membesar menyebabkan perut saya cukup sakit ketika itu. Doktor mencadangkan supaya pembedahan membuang ketumbuhan itu segera dilakukan kerana ia sudah membesar kira-kira 25 sentimeter (sm) pada 31 Disember tahun lalu," katanya.

Nurul Jannah berkata, suaminya hanya mengambil upah bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM70 bergantung kepada permintaan.

"Suami sebelum ini bekerja kilang tetapi sejak saya sakit, dia mengambil keputusan untuk berhenti disebabkan saya kerap berulang alik ke hospital.

"Akibatnya, kami berdepan masalah kewangan apabila semua wang simpanan digunakan untuk membayar kos rawatan kemoterapi, pembedahan, caj hospital serta perbelanjaan persekolahan anak.

"Disebabkan itu juga, kami tidak dapat membayar tunggakan bulanan kereta yang kini sudah memasuki tiga bulan, sewa rumah RM370 sebulan juga tertunggak selain bil air serta elektrik juga tidak dapat dibayar," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 152069067273 atas nama Nurul Jannah Abdul Rahman atau menghubungi talian 017-9962784.

"Saya reda dengan masalah kesihatan ini namun pada masa sama, saya amat memerlukan sokongan moral serta kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 11:48 AM