Tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Pekan semalam dikebumikan dalam satu liang lahad. FOTO Ihsan Pembaca
Tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Pekan semalam dikebumikan dalam satu liang lahad. FOTO Ihsan Pembaca
Shahrinnahar Latib

JENAZAH tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Kampung Cherok Paloh, Pekan semalam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketapang Hilir, Pekan 12.30 tengah hari ini.

Suasana sayu menyelubungi tanah perkuburan itu ketika jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad.

Dalam kejadian 4 petang semalam, Nurul Jannah Bazlan, 24, yang memandu Proton Saga bersama anaknya Nursyaffina Qalesya Mohammad Solahuddin, 4, serta ibunya, Asnawati Muslimin, 53, maut di tempat kejadian.

Anak sulung Asnawati, Ahmad Samsuri Bazlan, 35, berkata, majlis pengebumian ibu, adik serta anak saudaranya itu berjalan lancar dan reda dengan apa yang berlaku.

Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian selepas melihat gambar yang dikongsikan rakan sekerjanya.

“Rakan menunjukkan gambar kereta jenis Cherry Eastar milik saudaranya yang terbabit dalam kemalangan itu, selepas melihat gambar itu saya terkejut kereta Proton Saga milik adik turut terbabit.

“Saya dimaklumkan kemalangan itu menyebabkan kematian dan tak sangka ia membabitkan ibu, adik dan anak saudara saya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya hari ini.

Kemalangan itu turut menyebabkan seorang lagi anak Nurul Jannah, Muhammad Syamil Aqmal, 11 bulan dan adik Nurul Jannah, Nurul Syaffiya, 13, yang duduk di tempat duduk penumpang belakang cedera.

Ahmad Samsuri berkata, dia tidak mengetahui ibunya ke Kuantan bersama dua adik dan dua anak saudaranya untuk melawat bapa saudaranya yang sakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Sebelum kemalangan, difahamkan mereka ada membeli baju untuk adik bongsu (Nurul Syafiyya) sebelum balik ke Pekan.

“Walaupun sedih kerana kehilangan tiga ahli keluarga serentak namun saya reda,” katanya.

Berita berkaitan

Kenangan terakhir bersama cucu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 4:07 PM