Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mensasarkan nilai jualan RM11 juta menerusi program jualan khas Aidiladha Madani yang berlangsung semalam hingga 28 Jun ini.

Pengerusi Fama, Aminuddin Zulkipli berkata, program jualan ini membabitkan lebih 20,000 usahawan di 203 outlet pemasaran Fama seluruh negara termasuk Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).

"Selain memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan perayaan, ia juga memberi ruang kepada usahawan untuk mengadakan jualan semasa musim sambutan perayaan yang mana mendapat permintaan tinggi dari kalangan pengunjung," katanya pada pelancaran Program Jualan Khas Aidiladha Madani peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof; Pemangku Ketua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri dan Pengarah Fama Selangor, Aiada Abdul Rashid.

Beliau berkata, selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidiladha seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih.

Katanya, Fama akan memastikan bekalan di setiap lokasi mencukupi dan pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan raya.

"Fama juga menyasarkan nilai jualan bagi ayam sebanyak RM440,000 bersamaan 30,000 ekor dan daging bernilai RM220,000 bersamaan 6.2 metrik tan untuk jualan khas Aidiladha Madani pada tahun ini.

"Fama memberi jaminan bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa cukup untuk Aidiladha.

"Kita yakin pengguna tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barang keperluan itu kerana persediaan awal menambah bekalan sentiasa dibuat agensi di bawah kementerian," katanya.

Pada majlis sama, Aminuddin turut melancarkan jualan istimewa Kombo Madani yang mengandungi sayur-sayuran dan ayam dijual pada harga RM10 per unit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 10:54 AM