GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Seramai 45 usahawan pemasar dengan nilai jualan bekalan RM1.9 juta berjaya dibangunkan menerusi program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, RPKP dilaksanakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dengan kerjasama strategik antara usahawan pemasar bimbingan Fama dengan peserta Ladang Kontrak.

Menurutnya, insiatif itu dilaksanakan bagi meningkatkan jaringan pengedaran dan daya saing yang sihat dalam pasaran

"Sehingga 30 September lalu, Fama membangunkan seramai 45 usahawan pemasar yang mendapat bekalan daripada 450 orang pengeluar.

"Ia membabitkan kuantiti jualan sebanyak 556 tan metrik yang bernilai RM1.9 juta," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai perancangan kementerian untuk memperkasa fungsi Fama sebagai pengedar sayur-sayuran tempatan berbanding ketika ini Fama bergantung kepada pemborong yang memonopoli rantaian bekalan makanan negara.

Bagi memastikan sayur-sayuran tempatan dapat dipasarkan terus kepada pengguna, Mohamad berkata, Fama membangunkan 818 buah outlet peruncitan di seluruh negara.

"Ia sebagai alternatif luang pasaran kepada pengeluar dan berjaya menjana nilai jualan keseluruhan RM1.2 bilion," katanya.

Dari aspek pembangunan infrastruktur pemasaran, katanya, Fama mempunyai 40 Pusat Operasi di seluruh negara yang giat menjalankan aktiviti belian secara terus dari ladang untuk diedar dan dipasarkan kepada pengguna.

"Sehingga 30 September 2023, Fama melalui Pusat Operasi membuat belian sebanyak 4,553 tan metrik bernilai RM10 juta.

"Sebanyak nilai jualan berjumlah RM9.2 juta dicatatkan.

"Fama turut menyediakan fasiliti seperti sewaan bilik sejuk dan logistik bagi menyimpan produk segar pertanian dan seterusnya memudahkan aktiviti pengedaran dan pemasaran dijalankan di Pusat Operasi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 2:49 PM