WANDA ketika melahirkan anak-anaknya.
WANDA ketika melahirkan anak-anaknya.
Hafiz Ithnin


Aura ceria terpancar sebaik sahaja bertemu dengan lapan anak bulus comel milik pasangan Mohd Ramzi Adnan, 39, dan Islinda Saidon, 41.

Sebenarnya, pasangan itu boleh dikatakan baharu sahaja memiliki haiwan kesayangan itu sejak 2021 apabila tiga kucing 'induk' ditemui di jalanan secara tidak sengaja.

Ramzi berkata, pada tahun itu dia dan isterinya menemui dua ekor anak kucing terbiar di belakang rumah milik kawannya dan memutuskan untuk membawa pulang haiwan itu untuk dijadikan haiwan kesayangan.

"Ketika itu hanya sepasang anak kucing jantan dan betina yang diberikan Loki dan Thor. Beberapa bulan kemudian kami menemui seekor lagi anak kucing jalanan jantan di Melaka.

"Kami merasa kasihan dengan anak kucing itu kerana ia berada di kawasan yang mempunyai banyak pemangsa terutama anjing. Jadi, kami bawanya pulang untuk dijadikan haiwan peliharaan," katanya.

"Bermula hanya tiga kucing kini kami mempunyai lapan ekor kucing yang masing-masing diberikan nama Loki (jantan), Thor (betina), Smokey (jantan), Tony (jantan), Wanda (betina), Rhodey (jantan), Boba (jantan) dan Panda (betina).

"Semua kucing kesayangan kami adalah baka tempatan dan kini menjadi 'kucing rumah' sepenuhnya kerana mereka kelihatan rasa takut apabila berada di luar rumah," katanya.

Ramzi berkata, menjaga sehingga lapan ekor kucing bukanlah sesuatu yang sukar kerana dia dan isteri hanya perlu memastikan haiwan kesayangan itu berada dalam keadaan sihat serta menjaga kebersihan.

"Saya dan isteri amat mementingkan diet haiwan itu. Kami memberikan makanan jenis kering yang premium dan seminggu dua kali makanan jenis basah diberikan yang dibeli di kedai haiwan peliharaan.

"Kadang-kala kami membuat sendiri makanan jenis basah mengikut menu yang disyorkan doktor haiwan untuk memastikan semua kucing kesayangan ini mempunyai diet yang terbaik," katanya.

Tambahnya, dari segi kebersihan, kucing-kucing peliharaannya itu dilatih menggunakan tandas khas yang disediakan iaitu bekas mempunyai pasir yang mampu menyerap bau.

"Memandangkan kami mempunyai kucing yang agak banyak, jadi setiap hari dua atau tiga kali sehari tandas itu mesti dibersihkan.

"Kebaikan mempunyai pasir yang berkualiti ini adalah ia mudah untuk menyerap najis dan bergumpal. Jadi mudah untuk membuangnya. Selain itu, teknologi menyerap bau amat penting supaya sebagai pemilik kami dapat tinggal dalam keadaan selesa," katanya.

Katanya, memiliki sehingga lapan ekor kucing menjadikan situasi di dalam rumah amat ceria kerana apabila kami pulang dari kerja semuanya menyambut kami di depan pintu.

"Malah, kucing kesayangan kami amat manja dan inginkan perhatian apabila saya dan isteri berada di dalam rumah.

"Jadi situasi di dalam rumah ini menjadi ceria dengan kehadiran semua haiwan itu. Lebih menarik kucing-kucing ini menjadi 'penggera masa' pada sebelah pagi dengan mengejut kami untuk bangun tidur," katanya.

Jelasnya, lima daripada kucing kesayangannya sudah dimandulkan memandangkan Wanda baru sahaja melahirkan anak iaitu Boba dan Panda.

"Saya dan isteri akan memandulkan semua haiwan itu apabila sesuai dengan keadaan kesihatan dan usia masing-masing.

"Bagi kami kualiti penjagaan lebih penting berbanding kuantiti kerana tidak mahu kucing yang dipelihara terbiar disebabkan tidak mampu menyediakan diet yang mencukupi dan menjaga kucing juga memerlukan komitmen yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 6:55 AM