RAZARUDIN memulakan tugas rasmi di Bukit Aman. FOTO Ihsan PDRM
RAZARUDIN memulakan tugas rasmi di Bukit Aman. FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memulakan tugas rasmi di Bukit Aman, hari ini.

Beliau yang dibawa menaiki kenderaan rasmi tiba di pintu masuk utama Bukit Aman pada 8 pagi.

Ketibaan beliau disambut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin bersama barisan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara di Lobi Menara 1.

Beliau kemudian menandatangani dokumen memulakan tugas diikuti majlis bacaan doa selamat di pejabatnya yang dipimpin oleh Penolong Pengarah (Psikologi dan Kaunseling) Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Zakarim Abdullah@Zakaria.

Semalam, Harian Metro melaporkan Razarudin mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara ke-14 menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang menamatkan kontraknya.

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu dalam PDRM itu disaksikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pada majlis sama, berlangsung upacara serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara antara Razarudin dengan penyandang baharu Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pelantikan Razarudin secara kontrak selama dua tahun adalah bagi menggantikan Acryl Sani yang bersara lebih awal.

Pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 12:09 PM